puteri umno's FotoPage

By: puteri UMNO

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Wednesday, 24-Jan-2007 06:52 Email | Share | Bookmark
Abd Aziz Mat Kiram Calon BN Batu Talam

 
RAUB, Setiausaha Umno Bahagian Raub, Abd Aziz Mat Kiram diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lewat Isnin malam dihadapan lebih 2,000 yang turut memenuhi perkarangan luar pejabat Umno Raub di sini.


Yang turut hadir Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Ali Rustam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy, Timbalan Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon dan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.

Nama Abd Aziz, 47, yang berasal dari kampung Batu Malim, diumumkan selepas mendapat persetujuan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selasa ialah hari penamaan calon bagi kerusi DUN Batu Talam. Proses itu akan diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Raub.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib berkata Perdana Menteri dan beliau sendiri yakin terhadap pemilihan yang dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang itu.

Beliau secara berseloroh berkata keputusan membuat pengumuman pada saat-saat akhir sebelum penamaan calon Selasa, sebagai satu "suspen".

"Lebih lama tunggu buat keputusan (siapa calon BN), rupanya lebih suspen, tapi ini bukan (lambat buat pengumuman) kerana lobi-melobi, saya pun tak ada orang melobi, maka saya yakin calon kita ini boleh diterima dengan mudah oleh semua pihak," kata Najib.

Beliau juga yakin enam lagi calon yang turut tersenarai pada peringkat awal, tidak kecewa terhadap pemilihan yang telah dibuat itu.

"Saya yakin semua pihak akan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi," katanya.

Mengenai pilihan raya kecil itu yang dijadualkan berlangsung pada 28 Jan ini, jika ada pertandingan, yang dipulau oleh PAS dan Keadilan, Najib mahu semua jentera Umno tidak memandang "enteng" atau mengambil sikap mudah.

"Pilihan raya kecil ini bukanlah sesuatu yang enteng atau satu pesta yang boleh diambil sambil lewa, atau sekadar untuk meramaikan majlis, tapi kita mesti serius bagi memastikan kemenangan yang besar," kata Najib.

Najib berkata tindakan PAS dan Keadilan memulau pilihan raya kecil itu mungkin mempunyai helah tertentu berikutan mereka tidak lagi yakin akan mendapat sokongan pengundi Batu Talam.

"(Tindakan memboikot) mungkin satu helah, atau mereka akan letak calon Bebas, kalau BN menang dengan majoriti kecil, mungkin mereka ambil kesempatan menempelak, atau mungkin mereka "simpan peluru" untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Najib berkata pilihan raya kecil itu juga akan menjadi kayu pengukur mengenai sokongan rakyat terhadap kerajaan BN sebelum pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Adnan berkata keputusan mengumumkan calon BN itu hanya dibuat selepas beliau menyerahkan senarai calon kepada Presiden Umno dan Najib hari Isnin.

Abd Kiram pula ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil itu.

"Saya yakin BN akan menang pada pilihan raya kecil ini, lagi pun pembangkang tidak mempunyai isu di kawasan ini," katanya.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pahang, Yusof Jamaludin pula berkata Abd Aziz sudah meletak jawatan sebagai pembantu luar JASA daerah Raub berkuatkuasa hari Isnin bagi membolehkannya menjadi calon BN.

-- BERNAMA





View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net